pErGilAh airmAtA...

Thursday, October 14, 2010 | 4 talkiey²





"JADI juga kamu ambil barang -barang
kamu ya?"
Sabrina mengangguk.
"Itulah yang kamu nak sebenarnya, kan?"
"Nak? Nak apa mama?"
Bulat mata Datin Hamidah merenungnya. "Jangan
panggil aku mama. Aku tak pernah terima kau jadi menantu
aku!"
Sabrina tunduk. "Saya minta maaf, Datin."
"Huh! Itu ajalah yang kamu tahu. Maaf, maaf,
maaf!"
Sabrina diam. Melawan air mata yang mahu
bertandang. Dia penat menangis. Dia tidak mahu menangis
lagi.
"Kamu memang ada niat nak tinggal dalam rumah
besar nikan?"
"Apa maksud Datin?"
"Kamu sengaja masuk ke bilik anak aku, kan?

Sengaja rancang semua ni semata-mata nak hidup senang
dalam rumah besar ni. Aku tak fahamlah dengan manusia
zaman sekarang ni! Sanggup buat apa saja semata-mata nak
hidup senang. Sanggup gadai maruah diri. Sanggup biarkan
diri ditangkap berkhalwat dengan orang yang kau sendiri tak
kenal perangainya."
"Tak. Saya bukan macam tu, Datin. Saya pun tak…"
"Dah… dah… aku tak nak dengar alasan kau yang
berkarung-karung tu. Aku nak kau ingat satu perkara aja.
Jangan ingat bila kau masuk dalam rumah ni, kau boleh
hidup senang. Tak. Jangan nak mimpilah!"
Sabrina sebak menahan sendu. Kata-kata yang sinis
itu terus terngiang-ngiang di telinganya. Terus memburu
pendengarannya. Setiap kali teringatkan kata-kata Datin
Hamidah, terasa betapa kotornya dia di dalam banglo itu.
Tidak pernah dia bermimpi untuk tinggal di situ. Keluarga
Datuk Hamidi pun dia tidak pernah kenal. Badrul sendiri pun
dia tidak pernah kenal. Bagaimana mungkin dia boleh
menyimpan niat sejahat itu pada Badrul dan keluarganya? Air
mata yang mulai memberat di bibir mata, cepat-cepat disapu.
Tidak mahu air mata itu menitis di hadapan Badrul. Takut
kata-kata sinis Badrul pula yang menghiris perasaannya.
Hatinya yang remuk bagai tidak dapat dirawat lagi.
"Kau ni, kenapa pulak?"
Sabrina menggeleng laju.
Badrul menjeling sekilas. Bukan dia tidak perasan
air mata yang bertakung di mata gadis itu. Melihat gelengan
Sabrina, dia terus menyambung konsentrasi pemanduannya.
Namun, dia sedar satu perkara. Kebelakangan ini, Sabrina
berusaha untuk tidak menitiskan air mata di hadapannya.
Setiap permintaannya, pasti Sabrina akan penuhi.